Air Tercemar: Apa Alternatif Pengguna

Laporan Khas Oleh Adibah Ismail
KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Hujan turun mencurah-curah di sekitar Lembah Klang pada awal pagi Ahad, 26 Februari lalu. Ketika itu kebanyakan penduduk Lembah Klang masih enak dibuai mimpi.

Apatah lagi, hari Ahad. Kedinginan dik hujan lantas membuatkan penduduk Lembah Klang menarik selimut dan menyambung tidur.

Malangnya, tanpa disedari hujan lebat luar biasa itu mencetuskan kekalutan apabila banjir kilat telah menenggelamkan lebih 6,000 rumah di Shah Alam dan kawasan sekitarnya.

Antara kawasan yang teruk ditenggelami air ialah Kampung Kebun Bunga di Batu Tiga, TTDI Jaya, Kampung Landasan, Kampung Melayu Subang, sekitar Seksyen 13, juga beberapa tempat di sepanjang Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Bukit Jelutong.

Turut menjadi mangsa fenomena alam ialah ribuan kenderaan yang bukan sahaja tenggelam malah dihanyutkan arus deras.

Ia dikatakan banjir terburuk yang pernah melanda daerah itu sejak 10 tahun lalu. Nasib baik tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Malangnya, belum sempat penduduk Lembah Klang menarik nafas lega, mereka dikejutkan pula dengan "kejutan" baru -- air paip yang berbau.

Ribuan penduduk yang menetap di kawasan sekitar Kuala Lumpur, Gombak, Petaling Jaya, Klang, Sungai Buloh, Shah Alam, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Hulu Langat mengadu air paip di rumah mereka berbau seakan-akan najis.

Pencemaran air yang digunakan untuk aktiviti harian termasuk memasak dan minuman itu dikhuatiri berpunca daripada kebocoran tangki septik semasa banjir kilat tersebut, yang kemudiannya melimpah ke kawasan tadahan air sebelum memasuki tangki rawatan air dan seterusnya dialirkan ke tangki dan paip di rumah mereka.

KANDUNGAN AMMONIA TINGGI

Bagaimanapun Syarikat Bekalan Air Selangor SdnBHD (Syabas) yang membekalkan air ke kawasan sekitar Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan lain di Lembah Klang mengeluarkan kenyataan bahawa bau itu dihasilkan oleh tindak balas kimia antara kandungan ammonia yang tinggi di dalam air dengan klorin yang digunakan untuk merawat air tersebut.

Pendedahan sebuah akhbar tempatan beberapa hari sebelum itu turut mengukuhkan lagi kebimbangan penduduk tentang kebersihan dan keselamatan air yang diminum.

Akhbar itu mendedahkan bahawa bau najis itu berkemungkinan berpunca daripada kawasan pelupusan sampah yang terletak berdekatan Sungai Selangor, iaitu sumber bekalan air yang menampung kawasan tadahan bagi kawasan terlibat dan pelepasan sisa ternakan oleh pengusaha yang menjalankan operasi mereka di sepanjang sungai itu.

Terbaru, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid mengesahkan kawasan pelupusan sampah Kundang yang melepaskan air resap cemarnya ke Sungai Kundang adalah salah satu punca kandungan ammonia dalam air Sungai Selangor meningkat.

Selain itu kegagalan mekanikal selama 30 minit di pusat pelupusan sampah Bukit Tagar turut menyebabkan air resap cemar mengalir ke dalam Sungai Selangor.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengumumkan bahawa sampel yang diambil daripada Sungai Selangor mengandungi kandungan ammonia 10 kali ganda dari kadar yang sepatutnya.

ALTERNATIF PENGGUNA

Apabila syak wasangka pengguna bertukar menjadi kenyataan, ramai yang mula mencari alternatif bagi menggantikan air paip yang tercemar dengan bekalan air lain yang mereka yakini bersih dan selamat.

Akhbar baru-baru ini memaparkan gambar berkaitan seorang suri rumah yang sanggup berhabis wang membeli air mineral untuk minuman dan kegunaan lain termasuk memasak, semata-mata kerana sangsi terhadap keselamatan air paip yang dibekalkan.

Bagaimanapun alternatif itu memerlukan kos yang tinggi kerana secara purata 1.5 liter air mineral dijual dengan harga RM1.80 hingga RM2.50.

Jika 10 botol diperlukan sehari, kos yang perlu ditanggung untuk mendapatkan air bersih ialah antara RM18 dan RM25 sehari!. Harga yang agak tinggi untuk kegunaan harian.

Semasa episod "air berbau" ini, ramai juga pengguna yang beralih kepada air RO yang lebih menjimatkan kos iaitu hanya RM0.20 seliter.

Mesin vendor yang menjual air itu biasanya terdapat di kaki lima deretan kedai malah terdapat juga mesin yang ditempatkan di kawasan penempatan seperti rumah pangsa dan pangsapuri.

AIR DIBEKALKAN SYABAS

Mesin tersebut masih menggunakan air yang dibekalkan oleh Syabas tetapi ia telah ditapis dengan sejenis membran (selaput) nipis yang akan menghalang bendasing lain seperti mineral, kotoran dan klorin juga ammonia daripada masuk ke dalam air tapisan.

"Air RO lebih kurang sama dengan air suling...ia 99.9 % tulen," kata Pengarah Urusan Airria-Link SdnBHD (Airria), Wan Ahmad Sabri Daud.

Airria adalah satu daripada berpuluh-puluh syarikat yang menjual air RO menggunakan mesin vendor.

Wan Ahmad yang telah menceburi perniagaan itu sejak dua tahun lepas mengakui permintaan pengguna meningkat terutamanya ketika masalah "air berbau" hangat diperkatakan di media.

"Secara purata terdapat lebih kurang 40 peratus peningkatan jualan daripada mesin-mesin vendor yang ditempatkan di kawasan-kawasan sekitar Shah Alam," katanya ketika dihubungi Bernama.

PENGAKUAN PENDUDUK

Menurut seorang kakitangan kerajaan, Zulkiflie Bakar, beliau sanggup membelanjakan lebih RM10 sehari untuk membeli air RO kerana tidak yakin dengan kebersihan air paip yang dibekalkan sejak kejadian banjir kilat tersebut.

"Saya tidak tergamak untuk menggunakan air berbau najis tersebut walaupun untuk membasuh pakaian.

"Dan saya juga tidak tergamak membiarkan isteri dan anak-anak saya minum air itu walaupun Syabas mengesahkan ia selamat diminum," katanya yang tinggal di Seksyen U5, Shah Alam.

Lelaki berusia 45 tahun itu berkata beliau sanggup membayar lebih semata-mata untuk mendapatkan bekalan air yang terjamin kebersihannya.

"Biarlah berbelanja lebih sedikit asalkan hati saya tenang," kata Zulkiflie.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) N.Marimuthu berkata:

"Air paip masih selamat diminum. Ia cuma perlu dimasak jika ragu-ragu dengan kebersihannya."

"Ia terpulang kepada pengguna untuk membuat pilihan," katanya mengulas berkaitan pengguna yang memilih air mineral atau air RO untuk digunakan dalam aktiviti harian mereka.


Kredit: bernama