Bahaya jerebu

JEREBU boleh dikatakan masalah berulang di rantau Asia Tenggara akibat pembakaran terbuka atas alasan membersihkan kawasan hutan untuk tujuan pertanian.
Sehingga kini kawasan yang paling teruk terjejas akibat jerebu adalah di Muar dan Ledang yang terletak di Johor.
Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan tersebut mencecah sehingga 746 pada jam 7 pagi 23 Jun lalu dan telah pun diisytihar darurat.


Di Kuala Lumpur dan Selangor, sekolah-sekolah telah diarah tutup pada 24 Jun 2013 bagi mengelakkan kesan kesihatan yang teruk kepada para pelajar.
Pakar Perunding Kanan Perubatan, Jabatan Perubatan, Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu, Terengganu, Datuk Dr. A. Shukri Datuk Md Salleh berkata, pencemaran udara tidak boleh dipandang ringan.
“Jika air yang tercemar, kita mempunyai pilihan untuk mencari sumber yang bersih tetapi apabila udara tercemar kita masih perlu bernafas seperti biasa.
“Air yang diminum melalui beberapa proses di dalam badan sebelum diserap ke dalam darah dan keluar sebagai air kencing dan peluh, sedangkan udara yang disedut terus masuk melalui hidung dan diserap di paru-paru," katanya lagi.
Kajian menunjukkan jerebu bukan saja membawa asap tetapi juga bahan-bahan lain semasa bertiup dari kawasan pembakaran seperti partikel, mikrob, toksik (bahan kimia) dan alergen.
“Bahan ini akan menyebabkan pelbagai penyakit berkaitan dengan pernafasan seperti asma, bronkitis, batuk, demam, selesema, penyakit kulit dan sinus.
“Secara tidak langsung akan menyebabkan kos bil hospital yang tinggi dan produktiviti menurun," katanya.
Semasa jerebu, kita tidak digalakkan keluar rumah tetapi adakah persekitaran di dalam bangunan sihat?
Dr. Shukri berkata, pengguna perlu memastikan persekitaran di dalam bangunan, rumah serta kereta bersih bagi mengurangkan kesan jerebu.
“Jika air, kita menggunakan penapis air bagaimana pula dengan udara?" soalnya.
Dr. Shukri berkata, apabila berada di dalam rumah, kita perlu pastikan keadaan persekitaran rumah yang bersih.
“Kita perlu memastikan aliran udara yang baik, penghawa dingin diservis, permaidani dibersih, minum air yang banyak, pakaian dicuci dengan bersih dan keadaan dalaman kereta yang bersih," katanya.
Pencemaran udara adalah campuran antara bahan semulajadi dan perbuatan manusia termasuk pembakaran hutan dan lain-lain yang menghasilkan partikel kecil, ozon dan gas seperti nitrogen oksida, karbon monoksida dan bahan-bahan kimia yang berada di udara yang disedut oleh manusia.
Pendedahan kepada udara tercemar seperti jerebu boleh menyebabkan kegatalan pada kulit, mata, penyakit paru-paru seperti lelah, bronkitis, resdung dan sekiranya berpanjangan boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular, darah tinggi dan juga kematian.
Terdapat bukti yang menunjukkan pendedahan udara tercemar secara berpanjangan juga boleh membantut perkembangan paru-paru di kalangan kanak-kanak.
“Kita juga masih terdedah kepada jerebu bila berada di dalam bangunan tertutup kerana udara tercemar masih boleh masuk melalui saluran udara luar (fresh air) yang masuk ke dalam unit penghawa dingin sepusat (Air Handling Unit).
“Oleh itu langkah berjaga-jaga masih perlu di ikuti sebagaimana berada di luar bangunan," katanya.
Bagaimanapun Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang juga Pensyarah Kanan, Unit Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran, Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Mohd. Rafee Baharudin berkata, beberapa langkah perlu dilakukan memandangkan kejadian jerebu boleh dikatakan sering berlaku.
“Masalah yang dihadapi seperti topeng muka yang tidak sesuai untuk semua peringkat usia.
“Buat masa sekarang, tidak terdapat topeng yang sesuai untuk kanak-kanak kerana saiz topeng adalah mengikut saiz orang dewasa," katanya.
Kanak-kanak yang memakai topeng orang dewasa masih terdedah kepada partikel-partikel jerebu jika pemakaiannya tidak sempurna seperti di bahagian tepi yang longgar.
Dr. Mohd. Rafee menegaskan bahawa satu peraturan menghadkan penggunaan jalan raya semasa IPU berada di tahap berbahaya perlu diadakan supaya ianya dapat mengurangkan bilangan kenderaan yang banyak di jalan raya yang seterusnya akan meningkatkan lagi tahap pencemaran kualiti udara.
Ianya tidak mustahil untuk dilakukan terutamanya bagi tujuan menjaga kesihatan penduduk di negara ini.
“Pihak berkuasa juga hendaklah perlu memastikan bekalan topeng muka adalah sentiasa mencukupi terutamanya di waktu insiden jerebu ini," katanya.
Sistem komunikasi yang berkesan juga harus diadakan seperti menggunakan balairaya, balai bomba, balai polis dan sekolah sebagai tempat rujukan atau menyebarkan maklumat yang tepat dan tidak mengelirukan.
Selain itu menurut Dr. Rafee, pendedahan awal mengenai jerebu juga amat penting, misalnya memberikan penerangan kepada pelajar mengenai betapa pentingnya menjaga alam sekitar dari sebarang pencemaran.
“Pihak industri yang berkaitan juga perlu menjalani kursus seakan induksi bagi memberikan pendedahan mengenai pentingnya menjaga alam sekitar," katanya.
Pihak berkuasa juga perlu peka terhadap golongan berisiko yang bukan sahaja kanak-kanak sekolah tetapi juga taska, tadika, pusat penjagaan bayi serta pusat penjagaan warga emas.
Ini kerana peningkatan penyakit respiratori didapati meningkat melebihi 100 peratus di kalangan bayi, kanak-kanak, ibu hamil dan warga emas terutamanya bagi kawasan yang diistiharkan darurat.
Dr. Rafee juga menyarankan pengguna agar lebih berhati-hati semasa makan di kafetaria terbuka kerana makanan yang terdedah itu dikhuatiri turut tercemar dengan bahan pencemar yang ada dalam jerebu.
"Biasanya makanan yang terdedah kepada bahan kimia berbahaya yang ada dalam jerebu dikhuatiri akan memberikan kesan negatif kepada pengguna," katanya.
Aktiviti sukan di luar juga perlu dikurangkan sama ada di peringkat sekolah, universiti, badan-badan sukan tempatan mahupun antarabangsa.
Dr. Rafee menambah, ramai yang tidak sedar mengenai bahan kimia dalam jerebu yang masuk ke dalam tubuh badan dan kesan jangka panjang akibat pendedahannya.
Jerebu sebenarnya menyebabkan masalah kesihatan awam dan kesihatan pekerjaan secara tidak langsung.
“Ini melibatkan mereka yang bekerja di luar seperti petani, ranjer, polis, posmen, pegawai penguatkuasa dan pekerja binaan," katanya.
Selain itu, bahan-bahan pencemar yang ada dalam udara bukan saja berbahaya kepada kesihatan manusia tetapi juga kepada haiwan dan tumbuhan serta didapati mengurangkan nilai estetika bangunan (menjadikannya pudar)

Kredit: KHAIRUNNISA SULAIMAN