Bekalan air terjejas akibat pencemaran Sungai Selangor pulih 96 peratus

KUALA LUMPUR: Bekalan air di beberapa kawasan pengguna yang terjejas akibat pencemaran di Sungai Selangor, 30 Ogos lalu telah pulih sehingga 96 peratus setakat jam 4 petang ini.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Air Selangor (Syabas) Priscilla Alfred berkata hanya beberapa kawasan di Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam dan Gombak yang masih mengalami gangguan bekalan air termasuk tekanan rendah. 



"Bekalan air telah pulih sepenuhnya di wilayah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor. Pencapaian ini hasil usaha berterusan Syabas dalam memantau dan mengendaliurus program pemulihan bekalan air termasuk mendapatkan kerjasama dari operator loji rawatan air berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Katanya susulan perkembangan positif itu pengguna yang terjejas kerana insiden itu juga turun kepada 63,390 berbanding 880,00 pada 31 Ogos dan 194,949 semalam.

"Bagi membantu mengurangkan kesulitan yang dihadapi pengguna, Syabas terus mengerakkan kesemua sumber-sumber yang ada bagi menghantar bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik.

"Sehingga kini, sebanyak 413 trip penghantaran lori tangki telah digerakkan, manakala 69 buah tangki air statik pula telah diletakkan di lokasi-lokasi strategik yang masih lagi terganggu bekalan air iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling dan Klang/Shah Alam," katanya.Katanya daripada keseluruhan lori tangki yang digerakkan, sejumlah 16 buah merupakan bantuan dari negeri-negeri lain iaitu Syarikat Air Johor, Lembaga Air Perak dan Syarikat Air Negeri Sembilan.

Kredit: berita harian.28/6/2015