Jabatan Meteorologi: Punca pencemaran udara adalah kita, bukan Indonesia

Indonesia tidak patut disalahkan atas pencemaran udara yang melanda negara ini, kata Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail. Che Gayah berkata, dalang di sebalik kualiti udara yang semakin buruk pada masa ini adalah rakyat Malaysia sendiri. Beliau juga menolak tanggapan bahawa keadaan yang berlaku sekarang berkaitan dengan pencemaran udara yang berlaku di Riau, Sumatera sejak dua bulan ini.



Punca sebenar pencemaran udara, katanya, adalah pembakaran terbuka, kebakaran hutan dan tanah gambut, pencemaran daripada kenderaan dan aktiviti perkilangan, dan diterukkan lagi oleh cuaca panas dan kering. "Ia adalah pembakaran kita sendiri, asap kita sendiri yang menyebabkannya," kata Che Gayah kepada The Malaysian Insider.

"Cuaca kering meninggalkan jerebu di udara kerana tidak ada mekanisme pembersihan udara. Dan setiap hari, kita menambahkan (pencemaran) dengan asap," kata beliau. Che Gayah berkata, arah angin menjadikannya mustahil untuk menyimpulkan asap yang melanda Lembah Klang disebabkan oleh situasi di Riau, yang mengisytiharkan darurat berikutan masalah tersebut.

"Kita sedang mengalami Monsun Barat Laut. Oleh itu, tiupan angin adalah ke arah barat laut. Ini bermakna, walapun Sumatera mengalami keadaan jerebu yang teruk, asap tidak akan bergerak ke arah kita," katanya, sambil menambah situasi jerebu di antara sempadan hanya akan berlaku ketika Monsun Timur Laut. 

"Inilah yang berlaku pada Jun tahun lepas."

Che Gayah sebelum ini berkata letupan gunung berapi Sinabung di Indonesia juga tidak memberi kesan kepada pencemaran udara di Malaysia, di mana beberapa kawasan di Lembah Klang merekodkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat. "Lagipun, letupan sudah pun berhenti. Ia hanya berasap. Malah, arah angin sebenarnya meniup asap Sumatera jauh daripada kami," katanya pagi tadi.

Menurut laporan, keadaan jerebu kini tertumpu di kawasan bandar yang mempunyai aktiviti industri dan ekonomi yang pesat seperti Kuala Lumpur, Selangor (Subang) dan Pulau Pinang (Seberang Perai).

Jabatan Meteorologi juga mengumumkan akan menjalankan operasi pembenihan awan untuk menghasilkan hujan di kawasan yang menempatkan empangan di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Operasi yang bermula dari jam 3 sehingga 4.30 petang semalam tertumpu di Gombak, Hulu Langat, Kuala Kubu Bharu, Hulu Klang dan Semenyih, kata Che Gayah.

Operasi tersebut diisytiharkan berjaya selepas hujan lebat petang semalam. "Saya tidak boleh berkata bahawa hujan lebat itu 100% kerana pembenihan awan. Tetapi saya percaya ia memainkan peranan," tambahnya. Hujan lebat selama beberapa jam sejak 4 petang semalam melegakan penduduk Lembah Klang yang juga terpaksa mengharungi masalah gangguan bekalan air.


Bagaimana pun, bacaan IPU di Lembah Klang masih belum bertambah baik, dengan Banting merekodkan bacaan paling tinggi pada 130. Manakala bacaan IPU tinggi di Pelabuhan Klang awal pagi tadi (137) berbanding semalam (131), jatuh kepada 125 setakat 11 pagi ini. Kualiti udara tidak sihat juga direkodkan di Nilai dengan bacaan IPU 109, Kuala Selangor (106), Petaling Jaya (124), Shah Alam (123) dan Batu Muda, Kuala Lumpur (116).

Kualiti udara dipantau melalui 52 stesen kendalian Jabatan Alam Sekitar di seluruh negara.Semalam, Jabatan tersebut memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pembakaran terbuka yang menyumbang kepada pencemaran udara.

Kredit: Jabatan Metrologi, Elizabeth Zachariah, 4/03/2014