Kemarau Punca Krisi Bekalan Air


KEMAMAN 11 Mac - Masalah kemarau yang berpanjangan menjadi penyebab utama berlakunya krisis air yang kritikal sehingga menjejaskan 200,000 pengguna di daerah ini.
Pengurus Syarikat Air Terengganu (SATU) Cawangan Kemaman, Ir. Atemin Sulong berkata, rumah pam loji air mentah di Sungai Pinang dekat sini tidak dapat menampung keperluan kerana paras sungai semakin rendah.
Katanya ekoran itu, SATU telah melaksanakan alternatif dengan menyediakan 10 buah lori tangki air untuk dihantar ke kawasan yang diperlukan.
"SATU telah membuka bilik gerakan 24 jam bertujuan membantu orang ramai dan mereka boleh menghubungi di talian 09-8502300 atau 019-9837067," katanya di sini kelmarin.
Menurut beliau, gangguan air tersebut berpunca daripada tekanan rendah dan ia perlu diatasi dengan segera sebelum bertambah buruk.
Beliau berkata, selain menyediakan khidmat pam ke tangki sekolah-sekolah pihaknya juga menyediakan khidmat tangki statik yang akan diletakan di kawasan sekolah.
"Kami juga terpaksa meminta khidmat lori tangki dari Pahang untuk membantu penduduk di daerah ini yang menghadapi krisis berkaitan dan setakat ini empat buah lori telah dihantar ke sini," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksutif Satu, Hussein Embong yang turut hadir melawat ke rumah pam loji air mentah di Sungai Pinang berkata, SATU akan cuba mengatasi sebarang masalah gangguan air itu.
Beliau juga meminta orang ramai bersabar kerana SATU akan melayan setiap permintaan.
Tambahnya, setakat ini gangguan air tersebut bergantung kepada keadaan cuaca dan jika air pasang, SATU akan mengepam jumlah air yang lebih banyak kepada penduduk.
"SATU juga sedang mengambil langkah yang lebih serius dengan menaik taraf kedudukan rumah pam loji air mentah di Sungai Pinang di mana ia akan mengambil masa sebulan," jelasnya.

Kredit: Utusan Malaysia, 12/03/2010