10 tahun hidup dalam habuk

BALING 21 Jan. – Lebih 10 tahun hidup dalam keadaan tidak selesa dan berdepan risiko terkena pelbagai penyakit. Begitulah keadaan dihadapi oleh penduduk di Taman Melati Kuala Ketil dekat sini, apabila pencemaran habuk, asap dan bau dari sebuah kilang memproses perabot kayu berdekatan taman itu terus menghantui kehidupan seharian mereka.
Keadaan itu menyebabkan penduduk menghidap pelbagai penyakit termasuk gatal seluruh badan, lelah dan batuk.
Malahan, ia bukan sahaja menimbulkan masalah kepada kira-kira 200 penduduk taman perumahan itu, bahkan ratusan penduduk kampung berdekatan turut menerima nasib yang sama.
Jarak antara kilang dengan rumah penduduk tidak sampai 200 meter.
Berhadapan dengan kilang tersebut terdapat sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan yang turut menghadapi masalah sama.
Akibat tidak keselesaan itu, penduduk yang tinggal berdekatan terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah.
Ada penghuni yang berpindah kerana masalah habuk masih berterusan walaupun beberapa kali ia dibawa kepada pengetahuan pihak berkaitan.
Seorang penduduk, Abdul Rashid Shaari, 49, berkata, operasi kilang tersebut yang melepaskan habuk dan sisa pemprosesan kayu menyebabkan mereka semakin tidak selesa serta bimbang dengan kesihatan masing-masing.
“Kita kecewa kerana kesihatan penduduk berdekatan akan terjejas termasuk mengalami batuk,” katanya ketika ditemui hari ini.
Difahamkan kilang tersebut yang pada asalnya mahu dijadikan kilang elektronik tetapi dijadikan kilang pemprosesan kayu perabot.
Abdul Rashid menambah, ada penduduk bukan sahaja terpaksa berpindah malah terdapat pemilik rumah di taman itu menjual kediaman kerana tidak tahan dengan masalah berkenaan.
Seorang lagi penduduk, Yahaya Taib, 51, mendakwa, kilang berkenaan melepaskan habuk terutama pada waktu malam dan hujan.
“Kadang-kadang waktu malam habuk hitam akan dilepaskan menyebabkan penduduk semakin tidak selesa.
“Pihak berkuasa seperti Jabatan Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar pernah dimaklumkan mengenai masalah ini namun kesan pencemaran masih lagi berlaku,” katanya.
Seorang suri rumah, Norsiahtun Talib, 37, berkata, dia mengalami masalah penyakit gatal seluruh badan akibat habuk kilang tersebut yang tercemar.
Menurutnya, dia bimbang anaknya akan turut terdedah dengan penyakit akibat pencemaran habuk tersebut.
“Akibat habuk kilang itu, saya sering mengalami alahan dan gatal seluruh badan,” katanya yang kesal dengan keadaan itu yang seolah-olah tiada penghujung.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_04.htm#ixzz3eeW7Y5cJ 
© Utusan Melayu (M) Bhd