Kepentingan menjaga Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya. Alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan harian kita. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita satu suasana yang selesa dan menyamankan. Di samping memberi keselesaan kepada manusia, aktiviti-aktiviti pembangunan sedikit sebanyak menjejaskan negara sekiranya alam sekitar di negara kita tidak dijaga dengan baik. Amalan menjaga kebersihan merupakan tuntutan semua agama. Persekitaran yang bersih penting untuk mewujudkan kehidupan yang sihat dan sejahtera.

Kepentingan alam sekitar kepada sistem pernafasan kita. Persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang segar. Udara yang bersih dan segar sememangnya amat penting untuk kesihatan. Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau. Tumbuh-tumbuhan akan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan badan kita mendapat bekalan oksigen secukupnya. Selain itu, alam sekitar yang bersih membolehkan kita menikmati keselesaan. Cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh kenaikan suhu dapat dielakkan dan membolehkan kita menjalankan kehidupan dalam keadaan yang baik. Melalui persekitaran yang segar dan nyaman juga, orang ramai boleh melakukan aktiviti luar dan beriadah tanpa gangguan yang boleh menimbulkan perasaan rimas, marah dan tidak selesa. Aktiviti riadah yang dijalankan dalam keadaan bersih akan menguatkan kesihatan kita. Dengan ini, kesihatan manusia akan terjamin.

Menjaga alam sekitar adalah penting untuk flora dan fauna. Kebersihan alam sekitar akan menjamin keseimbangan ekosistem. Ekosistem yang terpelihara daripada kerakusan manusia akan membantu menjamin sumber air. Tanpa pemusnahan hutan, ia dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan. Kehadiran hutan-hutan tadahan hujan akan menakung air hujan secara semula jadi dalam kuantiti yang besar. Hutan yang lengkap dengan flora dan faunanya menyebabkan air hujan yang turun dapat disalurkan dengan baik ke sungai. Air hujan yang turun itu tidak akan tersejat malah akan disalurkan ke sungai untuk meneruskan peredaran air. Ini dapat menjamin bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan persendirian mahupun industri. Selain itu, hutan merupakan aspek penting untuk penakungan air di empangan-empangan yang dilengkapi teknologi canggih. Keadaan ini membolehkan kita menghasilkan kuasa elektrik hidro sebagai suatu tenaga yang bersifat mesra alam dan akan mengurangkan pergantungan kepada tenaga fosil seperti petrol dan arang batu yang memusnahkan alam. Secara umumnya, kebersihan alam sekitar adalah tuntutan semulajadi bagi manusia untuk menjamin kehidupan yang selesa.

Pemuliharaan terhadap alam sekitar adalah amat penting untuk mengelakkan kepupusan flora dan fauna. Alam sekitar merupakan tempat tinggal bagi flora dan fauna. Kedua-duanya memainkan peranan dalam mengekalkan alam semulajadi dan saling berkaitan di antara satu sama lain, Flora dan fauna merupakan biodiversiti yang tidak boleh dipisahkan. Flora merupakan tempat perlindungan pelbagai fauna daripada angkara manusia atau sesama haiwan sendiri. Kepupusan salah satu daripadanya akan menjejaskan kitaran alam semulajadi. Penebangan hutan yang tidak terancang akan menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering. Ini akan menjejaskan pertumbuhan flora dan fauna. Pemuliharaan terhadap alam sekitar adalah penting untuk mengelakkan kepupusan..

Penghutanan semula yang dilakukan secara terancang dan sistematik oleh Jabatan Perhutanan serta badan-badan bukan kerajaan dapat meningkatkan oksigen di atmosfera kerana tumbuhan hijau berperanan sebagai perangkap dan pengguna utama karbon dioksida dalam proses fotosintesis.. Penghutanan semula dilakukan di kawasan hutan yang telah ditebang. Tujuan penghutanan semula adalah untuk mengekalkan spesies pokok hutan tersebut. Di samping itu, penghutanan semula dapat mengekalkan kualiti alam sekitar yang baik, memulihara tanah yang subur dan sumber air yang cukup.

Persekitaran yang bersih juga dapat mengelakkan pembiakan serangga. Persekitaran yang kotor akan meyebabkan pembiakan serangga yang dapat mengancam nyawa manusia. Sebagai contoh nyamuk Aedes boleh menyebabkan demam denggi yang berbahaya. Selain itu, persekitaran yang kotor akan mendatangkan banyak lalat. Lalat yang membawa kuman akan menghinggap makanan kita, hal ini akan menyebabkan kesihatan manusia terjejas seperti cirit-birit dan muntah. Oleh itu, penjagaan kebersihan terhadap alam sekitar adalah penting.

Keindahan alam sekitar juga akan menarik pelancong untuk mengunjungi negara kita. Persekitaran yang cantik dan bersih dapat menarik ramai pelancongan dari luar negara atau orang tempatan untuk melancong ke negara kita. Melalui aktiviti pelancongan, kita dapat meningkatkan pendapatan negara melalui pertukaran wang asing. Dalam jangka panjang, pertumbuahan ekonomi juga akan meningkat. Melalui aktiviti itu. peluang perkerjaan juga akan meningkat dan secara tidak langsung ia dapat mengurangkan kadar pengangguran di negara kita. Dalam usaha memajukan negara dan meningkatkan taraf hidup penduduk, penjagaan terhadap alam sekitar merupakan tanggungjawab masyarakat.

Kesimpulannya, kita mesti sedar akan kepentingan memelihara alam semulajadi yang masih ada pada hari ini. Usaha-usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar terus dilakukanoleh pelbagai pihak di negara ini seperti kempen kebersihan, perkhemahan alam sekitar bagi belia, seminar, bengkel, pameran, promo media dan penerbitan bahan-bahan cetak. Semuanya adalah bagi meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan penyertaan orang ramai bagi memelihara alam sekitar. Pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Setiap generasi perlu turut serta supaya pembangunan lestari dikekalkan supaya dapat dinikmati sehingga generasi akan datang.

Kredit: alamsekitarbmp.blogspot.com